CIRI-CIRI MASYARAKAT AGRARIA DI BELANDA PADA ABAD KE-16 DAN 17 MASIHI.
Masyarakat Agraria dapat ditakrifkan sebagai masyarakat yang bercirikan aktiviti pertanian. Aktiviti utama yang dikaitkan dengan masyarakat berkenaan ialah bercucuk tanam, menternak binatang, memungut hasil hutan & menangkap ikan secara kecil-kecilan. Masyarakat Agraria di Belanda pada abd ke-16 & 17, telah mempelbagaikan kegiatan bagi meningkatkan taraf hidup sesuai dengan berlakunya Revolusi Pertanian di negara tersebut.
Masyarakat agraria di Belanda menjalankan aktiviti pertanian di kawasan pesisir pantai. Namun disebabkan berlakunya pertambahan penduduk & keperluan terhadap bahan makanan, pihak kerajaan telah bertindak menambak tanah laut untuk dijadikan kawasan pertanian. Kesannya, pada abad ke-17 berlaku pertambahan tanah pertanian kepada 36000 ekar sekitar tahun 1590-1615 dan hal ini telah membawa kepada peningkatan pengeluaran hasil pertanian.
Aktiviti masyarakat Agraria di Belanda ialah mengusahakan tanaman bijiran bagi menampung keperluan makanan seperti gandum,barli,oat dan kekacang. Namun disebabkan kawasan pertanian yang terbatas serta berlaku pertambahan penduduk, Belanda terpaksa mengimport bijirin dari Perancis. Selain itu, masyarakat Agraria juga mengusahakan tanaman komersial yang mendapat permintaan tinggi, antaranya bunga tulip, hem, biji cole dan mader. Biji cole giat diusahakan di kawasan utara dan menguntungkan kerana biji cole yang diproses akan menghasilkan minyak. Mader diusahakan kerana akarnya boleh dijadikan pewarna dalam industri tekstil.
Penternakan merupakan aktiviti ekonomi yang kedua pentingnya yang diusahakan oleh masyarakat agraria di Belanda. Terdapat 2 jenis lembu yang diusahakan iaitu lembu tenusu dan lembu daging. Lembu-lembu daging pula diternak untuk disembelih dan dieksport ke kawasan lain di Belanda antara tahun 1500-1660. Pada tahun 1662, terdapat catatan yang menyatakan sebanyak 2000 ekor lembu telah dieksport oleh VOC( Syarikat Hindia Timur Belanda) ke Hindia Timur (Indonesia) setiap tahun. Lembu tenusu pula, ia diusahakan bagi menghasilkan industri yang berasaskan tenusu seperti keju, mentega, dan susu segar. Hasil tenusu ini bukan sahaja digunakan untuk menampung keperluan domestik malah dieksport ke England, Perancis dan Sepanyol yang pastinya meningkatkan taraf hidup masyarakat agraria .
Masyarakat Agraria di Belanda mempunyai kemampuan mempelbagaikan kaedah penanaman melalui inovasi yang dilakukan. Pada peringkat awal, mereka menggunakan kaedah sistem pertanian padang terbuka, dalam setiap musim para petani akan mengusahakan 2 daripada 3 bidang tanah dan 1 bidang lagi dibiarkan sebagai tanah rang untuk memastikan kesuburan tanah berkenaan. Namun, untuk memastikan tanah lebih produktif, masyarakat di sini mula menggunakan kaedah tanaman giliran , antara tanaman ubi-ubian, kekacang dan bijirin. Kaedah ini mengembalikan kesuburan tanah dan meningkatkan lagi hasil pengeluaran pertanian. Kesan pelaksanaan kaedah penggiliran ini telah menyebabkan secara perlahan-perlahan sistem tanah rang dimansuhkan.
Masyarakat agraria menerapkan penggunaan teknologi tinggi dalam kegiatan yang diusahakannya. Antaranya, menggunakan peralatan-peralatan baharu bagi meningkatkan produktiviti seperti tenggala beroda dan mesin untuk menampi bijirin. Bagi menambah kawasan pertanian , seperti pada tahun 1600-an seseorang yang bernama Jan Adriaanszoon telah berjaya memajukan kaedah mengeringkan air dengan membina sejumlah daik dan kincir air. Pada tahun 1612, Tasik Beemster telah berjaya dikeringkan dan membentuk sebuah dataran baharu yang dikenali sebagai Beemster Polder. Sejak itu, daik-daik dan kincir angin telah dibina untuk menyekat air laut dari memasuki kawasan petempatan dan pertanian. Kesannya, lebih banyak kawasan berjaya dikeringkan atau ditebus guna untuk dijadikan kawasan pertanian. Penggunaan teknologi kincir angin semakin merancakkan lagi kegiatan pertanian di Belanda kerana kawasan tanah tinggi boleh disalurkan air untuk pertanian.
Kesimpulannya, penggunaan teknologi tinggi serta kreativiti masyarakat agraria di Belanda serta sokongan pihak pemerintah bukan sahaja telah membawa kepada peningkatan dalam pengeluaran hasil pertanian, seterusnya telah meningkatkan taraf hidup golongan tani serta menjadikan negara Belanda terkenal dalam penghasilan barangan berasaskan pertanian dan penternakan hingga hari ini.
Friday, 11 December 2015
Thursday, 10 December 2015
Ciri-ciri masyarakat maritim di Jepun
CIRI-CIRI MASYARAKAT MARITIM DI JEPUN
Masyarakat maritim merujuk masyarakat yang berfokuskan aktiviti kelautan khususnya perdagangan dan perikanan. Bentuk muka bumi Jepun yang berpulau-pulau telah mendedahkan masyarakat ini dengan aktiviti-aktiviti maritim. Oleh itu, masyarakat maritim di Jepun lebih tertumpu di pesisiran pantai seperti di perkampungan nelayan di Yokohama dan menetap di kawasan-kawasan bandar pelabuhan seperti di Nagasaki, Nagoya, Hiroshima dan bandar pelabuhan lain. Walau bagaimanapun, sewaktu abad ke-16 sehingga abad ke-17 Masihi, aktiviti maritim di Jepun lebih berfokus kepada perdagangan terutamanya sewaktu kekuasaan Kesyogunan Ashikaga dan Keshogunan Tokugawa.
Masyarakat maritim di Jepun terlibat dengan aktiviti perikanan yang merupakan pekerjaan utama penduduk Jepun kerana makanan kedua selepas nasi bagi masyarakat Jepun ialah ikan. Kedudukan geografi Jepun di tempat pertemuan arus panas dan arus sejuk, menyebabkan Jepun terdedah kepada sumber laut yang banyak. Nelayan-nelayan Jepun menjalankan kegiatan menangakap ikan di kawasan pesisir pantai dan hanya menggunakan kaedah tradisional seperti menjala dan memukat.
Pada abad ke-16, masyarakat maritim di Jepun telah mula menjalankan hubungan dagang dengan kuasa barat khasnya Portugal. Hubungan yang terjalin telah membawa masuk teknologi barat seperti teknologi kapal, teknik perang, persenjataan, kesenian dan berlaku penyebaran agama Kristian. Pengasas Kesyogunan Tokugawa iaitu Ieyasu (1603-1616), menyambut baik kedatangan para pedagang Portugis dan Belanda . Orang Belanda mula berdagang dengan Jepun pada 1609 dan orang Inggeris pada tahun 1613. Sebelum itu, pada tahun 1570, Shogun Ashikaga telah menandatangani satu perjanjian perdagangan dengan pedagang Portugal. Melalui perjanjian ini, pedagang Portugal dibenarkan berdagang di pelabuhan Nagasaki dan perkara ini telah mendorong berlaku peningkatan perdagangan dengan dunia luar dan menjadi pintu keluar bagi pedagang Jepun untuk ke luar negara.
Pertumbuhan ekonomi perdagangan yang rancak pada zaman Keshogunan Ashikaga ini telah membawa kepada timbulnya amalan pengkhususan dan berlakunya pertambahan bilangan tukang, saudagar yang membawa kepada pembentukan persatuan(za) atau guilds yang memonopoli pengeluaran dan pemasaran sebarang barangan. Malah, ia menggalakkan kemunculan persatuan-persatuan kewangan dan pertumbuhan ekonomi wang. Hal ini pastinya, meningkatkan lagi perhubungan perdagangan di peringkat tempatan dan luar negeri.
Jalinan perhubungan serta aktiviti perdagangan dengan masyarakat antarabangsa telah menyebabkan masyarakat Jepun menerima pelbagai pengaruh budaya luar seperti pengaruh agama Kristian yang dibawa oleh mubaligh-mubaligh Kristian Portugis, agama Buddha dan Confucius dari China serta Shinto yang merupakan kepercayaan tempatan. Di bandar-bandar pelabuhan pula, terdapat pedagang -pedagang Portugis , Sepanyol dan China. Sebelum pengamalan dasar tutup pintu, mubaligh Kristian dibenarkan menjalankan aktiviti penyebaran agama Kristian dan mendirikan gereja bagi menjalankan kegiatan agama mereka. Kapal-kapal pedagang Portugis dan Belanda biasanya membawa bersama mubaligh-mubaligh Kristian. Oleh sebab itu, agama Kristian mula berkembang di kawasan pelabuhan dan perdagangan.
Kesimpulannya, keterbukaan pemerintah Jepun yang menggalakkan kedatangan pedagang-pedagang asing telah memberikan gambaran bahawa masyarakat maritim di Jepun bukanlah masyarakat yang statik, sebaliknya mereka telah menerima unsur-unsur yang positif sehingga mampu dapat menyesuaikan diri dengan bangsa asing, namun disebabkan ia tidak dikawal telah memaksa pemerintah Keshogunan Tokugawa mengisytiharkan dasar tutup pintu, perdagangan dengan dunia luar dihadkan di Pulau Deshima yang terletak di pelabuhan Nagasaki. Oleh itu, hanya pedagang-pedagang Belanda, dan beberapa orang pedagang China sahaja yang dibenarkan berdagang dengan Jepun.
Masyarakat maritim merujuk masyarakat yang berfokuskan aktiviti kelautan khususnya perdagangan dan perikanan. Bentuk muka bumi Jepun yang berpulau-pulau telah mendedahkan masyarakat ini dengan aktiviti-aktiviti maritim. Oleh itu, masyarakat maritim di Jepun lebih tertumpu di pesisiran pantai seperti di perkampungan nelayan di Yokohama dan menetap di kawasan-kawasan bandar pelabuhan seperti di Nagasaki, Nagoya, Hiroshima dan bandar pelabuhan lain. Walau bagaimanapun, sewaktu abad ke-16 sehingga abad ke-17 Masihi, aktiviti maritim di Jepun lebih berfokus kepada perdagangan terutamanya sewaktu kekuasaan Kesyogunan Ashikaga dan Keshogunan Tokugawa.
Masyarakat maritim di Jepun terlibat dengan aktiviti perikanan yang merupakan pekerjaan utama penduduk Jepun kerana makanan kedua selepas nasi bagi masyarakat Jepun ialah ikan. Kedudukan geografi Jepun di tempat pertemuan arus panas dan arus sejuk, menyebabkan Jepun terdedah kepada sumber laut yang banyak. Nelayan-nelayan Jepun menjalankan kegiatan menangakap ikan di kawasan pesisir pantai dan hanya menggunakan kaedah tradisional seperti menjala dan memukat.
Pada abad ke-16, masyarakat maritim di Jepun telah mula menjalankan hubungan dagang dengan kuasa barat khasnya Portugal. Hubungan yang terjalin telah membawa masuk teknologi barat seperti teknologi kapal, teknik perang, persenjataan, kesenian dan berlaku penyebaran agama Kristian. Pengasas Kesyogunan Tokugawa iaitu Ieyasu (1603-1616), menyambut baik kedatangan para pedagang Portugis dan Belanda . Orang Belanda mula berdagang dengan Jepun pada 1609 dan orang Inggeris pada tahun 1613. Sebelum itu, pada tahun 1570, Shogun Ashikaga telah menandatangani satu perjanjian perdagangan dengan pedagang Portugal. Melalui perjanjian ini, pedagang Portugal dibenarkan berdagang di pelabuhan Nagasaki dan perkara ini telah mendorong berlaku peningkatan perdagangan dengan dunia luar dan menjadi pintu keluar bagi pedagang Jepun untuk ke luar negara.
Pertumbuhan ekonomi perdagangan yang rancak pada zaman Keshogunan Ashikaga ini telah membawa kepada timbulnya amalan pengkhususan dan berlakunya pertambahan bilangan tukang, saudagar yang membawa kepada pembentukan persatuan(za) atau guilds yang memonopoli pengeluaran dan pemasaran sebarang barangan. Malah, ia menggalakkan kemunculan persatuan-persatuan kewangan dan pertumbuhan ekonomi wang. Hal ini pastinya, meningkatkan lagi perhubungan perdagangan di peringkat tempatan dan luar negeri.
Jalinan perhubungan serta aktiviti perdagangan dengan masyarakat antarabangsa telah menyebabkan masyarakat Jepun menerima pelbagai pengaruh budaya luar seperti pengaruh agama Kristian yang dibawa oleh mubaligh-mubaligh Kristian Portugis, agama Buddha dan Confucius dari China serta Shinto yang merupakan kepercayaan tempatan. Di bandar-bandar pelabuhan pula, terdapat pedagang -pedagang Portugis , Sepanyol dan China. Sebelum pengamalan dasar tutup pintu, mubaligh Kristian dibenarkan menjalankan aktiviti penyebaran agama Kristian dan mendirikan gereja bagi menjalankan kegiatan agama mereka. Kapal-kapal pedagang Portugis dan Belanda biasanya membawa bersama mubaligh-mubaligh Kristian. Oleh sebab itu, agama Kristian mula berkembang di kawasan pelabuhan dan perdagangan.
Kesimpulannya, keterbukaan pemerintah Jepun yang menggalakkan kedatangan pedagang-pedagang asing telah memberikan gambaran bahawa masyarakat maritim di Jepun bukanlah masyarakat yang statik, sebaliknya mereka telah menerima unsur-unsur yang positif sehingga mampu dapat menyesuaikan diri dengan bangsa asing, namun disebabkan ia tidak dikawal telah memaksa pemerintah Keshogunan Tokugawa mengisytiharkan dasar tutup pintu, perdagangan dengan dunia luar dihadkan di Pulau Deshima yang terletak di pelabuhan Nagasaki. Oleh itu, hanya pedagang-pedagang Belanda, dan beberapa orang pedagang China sahaja yang dibenarkan berdagang dengan Jepun.
Monday, 30 November 2015
ciri-ciri masyarakat industri di England
CIRI-CIRI MASYARAKAT INDUSTRI DI ENGLAND PADA ABAD KE-18 MASIHI
Masyarakat industri merupakan masyarakat yang kegiatan ekonominya berteraskan perindustrian iaitu terlibat dengan pengeluaran barangan dan perkhidmatan dengan menggunakan jentera dan mesin. Kemunculan masyarakat industri di England dikaitkan dengan berlakunya Revolusi Perindustrian yang membawa kepada pengeluaran barangan secara besar-besaran, menggunakan teknologi tinggi, penggunaan tenaga buruh yang dapat meminimumkan kos dan membawa kepada kemunculan golongan borjuis atau kelas menengah.
Antara ciri masyarakat industri di England ialah masyarakat ini tertumpu di kawasan bandar yang amat memerlukan tenaga kerja di kilang-kilang. Hal ini telah membawa kepada penghijrahan golongan imigran ke bandar-bandar sekali gus dapat membebaskan diri daripada tuan-tuan tanah berikutan kemerosotan yang dialami oleh sistem feudal. Antara bandar yang menjadi tumpuan ialah Liverpool, Manchester, dan Nottingham. Kewujudan petempatan-petempatan di kawasan berhampiran kilang telah membawa kepada kemunculan pekan-pekan yang tidak tersusun yang mempunyai kemudahan yang terhad, seolah-olah wujudnya petempatan setinggan, dan bagi individu yang tidak mempunyai kemahiran , tidak memiliki sumber kewangan yang mencukupi serta kekurangan ilmu pengetahuan akan membawa kepada kemunculan gelandangan. Pekerja-pekerja kilang yang tidak mampu memiliki rumah terpaksa tinggal di dalam lubang-lubang bawah tanah. Kehidupan di bandar menuntut masyarakat lebih berdikari yang menyebabkan hubungan kekeluargaan kian longgar. Setiap individu yang tinggal di bandar perlu menghadapi cabaran malah bakat dan kekayaan mula menjadi penentu kepada kejayaan individu dan bukan lagi bergantung kepada status tradisi keturunan atau keluarga.
Keadaan hidup yang tidak menentu telah menyebabkan masyarakat di England juga terdedah dengan masalah asap dan bahan-bahan buangan kilang yang mencemarkan udara dan persekitarannya. Hal ini mengundang persekitaran yang tercemar sekali gus membawa risiko penularan wabak penyakit seperti kolera dan taun. Pada tahun 1842, dilaporkan keadaan kebersihan dan kualiti kesihatan penduduk miskin di bandar agak tinggi berbanding dengan golongan kaya. Oleh itu, Akta Kesihatan Awam digubal bagi memperbaik tahap kesihatan masyarakat di bandar.
Dalam masyarakat ini juga muncul golongan buruh yang menjadi 'mangsa' kerakusan golongan kapitalis atau pemilik-pemilik kilang bagi meraih keuntungan yang berganda. Mereka menerima gaji yang kecil dan tidak cukup untuk menampung keperluan hidup di bandar-bandar. Kaum perempuan dan kanak-kanak terpaksa bekerja untuk menambah pendapatan keluarga mereka dengan gaji yang jauh lebih rendah dari pekerja lelaki. Kanak-kanak yang berumur 9 tahun atau kurang diterima untuk bekerja di kilang-kilang. Nasib mereka tidak terbela malah keadaan kerja mereka sangat buruk kerana terpaksa bekerja di kilang-kilang selama 12 jam sehari dalam keadaan yang sangat kotor . Terdapat juga buruh kanak-kanak yang bekerja di kilang -kilang dan lombong-lombong arang batu bawah tanah. Mereka bekerja selama 14 jam sehari. Perkara ini akan menyebabkan pemilik-pemilik kilang akan mendapat keuntungan yang sangat banyak kerana amalan dasar ekonomi bebas atau laissez-fairez. Mereka mengeksploitasi dan menindas golongan pekerja tanpa batasan. Tidak terdapat undang-undang untuk menghalang pengambilan buruh bawah umur dan mengehadkan masa bekerja.
Selain itu, dalam masyarakat ini muncul golongan baharu yang dikenali sebagai golongan borjuis yang terdiri daripada pemilik kilang, peniaga,pelabur, ahli perbankan dan jurutera. Golongan ini berkeinginan dan bersedia menerima sebarang risiko untuk mendapatkan kekayaan. Sumbangan golongan ini ternyata telah membawa kepada pertumbuhan ekonomi England. Abad ke-18 juga menyaksikan timbulnya kesedaran golongan proletariat yang berasaskan golongan kaya telah mengeksploitasi golongan miskin dengan menguasai sumber kekayaan negara. Golongan ini mahukan kerajaan campur tangan dalam perdagangan dan industri bagi melahirkan masyarakat yang adil dalam ekonomi. Pada 1830-an menyaksikan munculnya idea pemikiran Robert Owen dalam masyarakat industri di Britain yang menyarankan agar sistem kapitalis lebih bersifat kemanusiaan. Majikan perlu membayar upah yang tinggi kepada para pekerja, menyediakan perumahan yang sempurna, pendidikan untuk anak-anak pekerja dan masa bekerja wajar dihadkan kepada 10 jam sehari. Idea yang disarankan dalam mayarakat industri ini bertujuan menjaga kebajikan pekerja dan pada masa yang sama pihak majikan mendapat keuntungan.
Kesimpulannya, kewujudan masyarakat industri di England menggambarkan sistem feudal yang diamalkan sebelum ini mula berakhir secara perlahan-lahan terutamanya apabila ramai serf mula membebaskan diri daripada tuan-tuannya, malah kemunculan golongan kapitalis yang berusaha memperoleh keuntungan yang berganda telah memacu perkembangan ekonomi England sehingga muncul sebagai salah satu negara industri utama di Eropah.
Thursday, 26 November 2015
Ciri-ciri masyarakat maritim di Portugal
CIRI-CIRI MASYARAKAT MARITIM DI PORTUGAL PADA ABAD KE-16 HINGGA KE-17.
Masyarakat maritim merujuk kepada masyarakat yang kegiatan ekonominya berpusatkan kelautan serta pusat pemerintahan kebiasaannya bertapak di kawasan pesisiran pantai. Berhubung dengan masyarakat di Portugal, sesuai dengan keadaan fizikal Portugal yang dikelilingi laut serta terhadnya tanah untuk aktiviti pertanian, maka tidak hairanlah masyarakat ini lebih terdedah kepada aktiviti maritim apatah lagi turut mendapat galakan daripada pemerintah sejak abad ke-14 Masihi.
Antara ciri-ciri masyarakat maritim di Portugal ialah masyarakat ini merupakan perintis kepada aktiviti maritim di Eropah terutama dalam bidang pelayaran jarak jauh dan membuka peluang perdagangan dengan kawasan di luar Eropah. Usaha-usaha pelayaran telah dilakukan sepanjang abad ke-15 hingga abad ke-16 untuk meneroka jalan laut ke Timur. Portugal berjaya menjadi kuasa Barat yang pertama menjelajah dunia yang belum diketahui kerana tiada persaingan dari negara-negara Eropah yang lain . Kejayaan bangsa Portugis menjadi inspirasi kepada bangsa -bangsa Eropah yang lain seperti Sepanyol, Belanda, British dan Perancis untuk melakukan aktiviti pelayaran ke timur dan dunia baharu. Putera Henry telah menubuhkan sebuah akademi maritim dengan tenaga pengajarnya terdiri daripada pelayar-pelayar bangsa Itali yang mahir dalam ilmu geografi dan pelayaran. Kejayaan Bartholomew Diaz dan Vasco da Gama dalam aktiviti pelayarannya telah mendorong penjelajahan dan penerokaan yang jauh dilakukan oleh tokoh-tokoh lain seperti Alfonso de Albuquerque, Francisco de Almeida dan Pedro Cabral.
Masyarakat maritim Portugal juga menjalankan kegiatan perdagangan antarabangsa dengan kawasan Afrika, Asia dan Amerika. Pada permulaan abad ke-16, kapal-kapal Portugis sentiasa belayar ke Timur Jauh melalui Tanjung Pengharapan dan kembali semula dengan muatan rempah , sutera, dan batu permata yang berharga. Saudagar-saudagar Portugal telah mendirikan pangkalan perdagangan di Ceylon, Maluku, Sumatera, dan Jawa bagi memonopoli bahan-bahan mentah yang berharga khususnya rempah. Pada tahun 1517 pula, pedagang Portugal telah berjaya sampai di pelabuhan Canton. Sementara pada 1542, pedagang Portugis telah berjaya sampai di Jepun. Seterusnya, penguasaan perdagangan di Lautan Atlantik bermula pada tahun 1500, kapal dagangan dari India telah sampai di Brazil bagi membolehkan saudagar Portugal menguasai kayu-kayan ,bahan pencelup dan emas. Masyarakat maritim di Portugal menjalankan dasar monopoli dalam aktiviti perdagangan terutama dalam perdagangan emas ,gading, dan hamba di Afrika , rempah di Asia Tenggara dan barangan mewah seperti tembikar dan sutera di Timur Jauh.
Ciri seterusnya ialah masyarakat di sini mempunyai kepakaran membina kapal-kapal yang efektif dipanggil Caravel hasil teknologi yang diambil daripada orang-orang Arab. Kapal tersebut dilengkapi dengan layar berbentuk segi tiga dan segi empat yang membolehkannya belayar dalam jarak yang jauh. Mereka juga mempunyai kemahiran ,membina kapal -kapal bersaiz besar yang dikenali sebagai Carracks yang mampu mengangkut muatan yang lebih banyak. Kepakaran dalam ilmu pelayaran yang terdapat pada pelaut dan pedagang Portugis ialah hasil daripada penubuhan Akademi Pelayaran di Sagres. Pelaut-pelaut Portugis juga memiliki pengalaman luas dalam bidang pelayaran dalam kalangan Portugis terbukti kerana mereka telah belayar di lautan sebelum abad ke-15 lagi. Mereka juga mempunyai kelengkapan pelayaran yang baik seperti peta, kompas magnetik, astrolab untuk menentukan longitud serta senjata api seperti senapang dan meriam bagi menghadapi ancaman lanun dan musuh-musuh di lautan yang membolehkan mereka belayar di lautan luas dan selamat.
Selain berdagang, mereka juga memonopoli bahan-bahan mentah , di samping menjelajah dan meneroka sesebuah kawasan. Masyarakat maritim di sini juga menyampaikan tanggungjawab agama dengan bertindak menyebar agama Kristian di sepanjang jalan laut yang mereka terokai. Pelayar-pelayar Portugis didorong oleh semangat untuk menyayingi agama Islam di Timur. Mereka mendirikan salib di setiap pantai yang mereka singgah dan menyebarkan agama Kristian kepada penduduk tempatan sama ada secara aman mahupun secara paksaan. Mereka ingin menguasai jalan-jalan perdagangan orang Islam untuk mendapatkan barangan dari Timur yang memberi gambaran seolah-olah ingin meneruskan Perang Salib di dunia sebelah Timur.
Kesimpulannya, kejayaan dalam aktiviti maritim nukan sahaja membolehkan Portugal menguasai jalan perdagangan sehingga ibu kotanya,Lisbon dapat mengambil alih peranan Venice, malah kejayaan membentuk koloni-koloni telah membawa kepada pembentukan empayar perdagangan yang begitu luas merangkumi benua Asia , Afrika dan Amerika Selatan.
CIRI-CIRI MASAYARAKAT AGRARIA DI CHINA
CIRI-CIRI MASAYARAKAT AGRARIA DI CHINA
Masyarakat Agraria merupakan masyarakat yang kegiatan dan pengeluaran ekonominya bertumpu kepada pertanian. Kegiatan pertanian merujuk kepada aktiviti bercucuk tanam, penternakan pemungutan hasil hutan dan sungai. Masyarakat agraria mempunyai kemahiran menghasilkan makanan sendiri , bermula dengan pertanian pindah sehinggalah mengusahakan pertanian tetap. Abad ke-16 dan ke-17 menyaksikan masyarakat agraria berada di bawah pemerintahan dan penguasaan Dinasti Ming dan Dinasti Ching di China.
Antara ciri-ciri masyarakat agraria di China ialah mereka mendirikan petempatan bertumpu di sekitar kawasan yang subur sama ada di lembah sungai, kawasan tanah pamah atau dataran, kawasan berbukit yang mempunyai sistem saliran yang baik. Tumpuan kawasan petempatan ialah antara kawasan Timur Laut China dengan Mongolia, iaitu dataran loes yang subur serta diairi oleh Sungai Kuning. Di sebelah selatan Sungai Kuning pula terletak kawasan tengah yang luas dan diairi oleh Sungai Yangtze yang sememangnya memberikan sumbangan dam mempengaruhi kehidupan dan aktiviti masyarakat agraria di China.
Masyarakat agraria mengusahakan penanaman padi sawah sebagai aktiviti ekonomi utama bagi mendapatkan bekalan makanan. Pada peringkat awal, masyarakat agraria di China mengamalkan kegiatan ekonomi sara diri iaitu menjalankan aktiviti sekadar untuk menampung keperluan harian sahaja. Oleh itu, masyarakat ini dikaitkan dengan masalah kemiskinan dan kesengsaraan terutamanya apabila negara menghadapi masalah bencana alam seperti banjir dan kemarau. Lebihan pengeluaran akan dijual kepada penduduk bandar dan golongan yang tidak terlibat dengan aktiviti pertanian seperti tukang-tukang, saudagar dan golongan agama. Pendapatan yang diperoleh daripada jualan berkenaan digunakan untuk membeli biji benih, membaik pulih peralatan, menguruskan belanja kematian , menderma dan menyertai jamuan yang diadakan sekali sekala. Masyarakat ini juga menjalankan penanaman bijirin lain seperti gandum, barli, sekoi dan di kawasan tanah tinggi mengusahakan tanaman padi huma dan kekacang.
Masyarakat agraria mengamalkan aktiviti pertanian secara kolektif (bersama) dan tidak mengutamakan hak individu. Segala hasil yang diperoleh akan dinikmati bersama. Oleh sebab matlamat utama kegiatan ekonomi hanyalah untuk keperluan diri semata-mata, masyarakat agraria di China menjalankan aktiviti harian menggunakan peralatan lama, namun masih memberikan pulangan yang diharapkan disebabkan penggunaan baja najis binatang yang mampu meningkatkan produktiviti. Mereka mewujudkan ladang-ladang kolektif atu dikenali sebagai sistem pao-chia yang diusahakan secara berkelompok . Pada zaman pemerintahan Dinasti Ching, golongan bangsawan memainkan peranan utama mengawasi sistem ini untuk mengawal kaum petani sekali gus memudahkan kerja-kerja pemungutan cukai yang merupakan salah satu sumber pendapatan utama negara China.
Pada zaman Dinasti Ming, masyarakat agraria mula mengalami perubahan iaitu mampu menguruskan sistem saliran secara sistematik, petani mampu membina terusan bagi mengawa aliran sungai, mengairi kawasan pertanian dengan mencukupi dan memastikan tidak berlaku limpahan yang membawa kepada berlakunya banjir. Pada zaman ini juga, berlaku pengenalan kaedah tanaman bergilir, tanaman dua musim(benih padi vietnam), dan pengkhususan dalam pertanian selain daripada pengenalan tanaman makanan baharu seperti jagung, ubi kentang manis serta kacang telah sedikit sebanyak mengubah kehidupan masyarakat agraria di China.Masyarakat tani di China telah terlibat dengan ekonomi kapitalisme dengan mengusahakan tanaman komersial seperti tembakau, kapas, mulberi dan tebu.
Konklusinya, masyarakat agraria di China merupakan komuniti yang penting bukan sahaja kerana sumbangannya dalam penghasilan barang makanan , tetapi yang paling penting golongan ini merupakan kelompok terbesar dalam masyarakat. Pemerintah amat mementingkan golongan ini bukan sahaja sebagai sumber pendapatan utama negara melalui dasar percukaian malah boleh dimanfaatkan sebagai tenaga kerahan jika negara diancam oleh musuh.
Subscribe to:
Posts (Atom)