CIRI-CIRI MASYARAKAT AGRARIA DI BELANDA PADA ABAD KE-16 DAN 17 MASIHI.
Masyarakat Agraria dapat ditakrifkan sebagai masyarakat yang bercirikan aktiviti pertanian. Aktiviti utama yang dikaitkan dengan masyarakat berkenaan ialah bercucuk tanam, menternak binatang, memungut hasil hutan & menangkap ikan secara kecil-kecilan. Masyarakat Agraria di Belanda pada abd ke-16 & 17, telah mempelbagaikan kegiatan bagi meningkatkan taraf hidup sesuai dengan berlakunya Revolusi Pertanian di negara tersebut.
Masyarakat agraria di Belanda menjalankan aktiviti pertanian di kawasan pesisir pantai. Namun disebabkan berlakunya pertambahan penduduk & keperluan terhadap bahan makanan, pihak kerajaan telah bertindak menambak tanah laut untuk dijadikan kawasan pertanian. Kesannya, pada abad ke-17 berlaku pertambahan tanah pertanian kepada 36000 ekar sekitar tahun 1590-1615 dan hal ini telah membawa kepada peningkatan pengeluaran hasil pertanian.
Aktiviti masyarakat Agraria di Belanda ialah mengusahakan tanaman bijiran bagi menampung keperluan makanan seperti gandum,barli,oat dan kekacang. Namun disebabkan kawasan pertanian yang terbatas serta berlaku pertambahan penduduk, Belanda terpaksa mengimport bijirin dari Perancis. Selain itu, masyarakat Agraria juga mengusahakan tanaman komersial yang mendapat permintaan tinggi, antaranya bunga tulip, hem, biji cole dan mader. Biji cole giat diusahakan di kawasan utara dan menguntungkan kerana biji cole yang diproses akan menghasilkan minyak. Mader diusahakan kerana akarnya boleh dijadikan pewarna dalam industri tekstil.
Penternakan merupakan aktiviti ekonomi yang kedua pentingnya yang diusahakan oleh masyarakat agraria di Belanda. Terdapat 2 jenis lembu yang diusahakan iaitu lembu tenusu dan lembu daging. Lembu-lembu daging pula diternak untuk disembelih dan dieksport ke kawasan lain di Belanda antara tahun 1500-1660. Pada tahun 1662, terdapat catatan yang menyatakan sebanyak 2000 ekor lembu telah dieksport oleh VOC( Syarikat Hindia Timur Belanda) ke Hindia Timur (Indonesia) setiap tahun. Lembu tenusu pula, ia diusahakan bagi menghasilkan industri yang berasaskan tenusu seperti keju, mentega, dan susu segar. Hasil tenusu ini bukan sahaja digunakan untuk menampung keperluan domestik malah dieksport ke England, Perancis dan Sepanyol yang pastinya meningkatkan taraf hidup masyarakat agraria .
Masyarakat Agraria di Belanda mempunyai kemampuan mempelbagaikan kaedah penanaman melalui inovasi yang dilakukan. Pada peringkat awal, mereka menggunakan kaedah sistem pertanian padang terbuka, dalam setiap musim para petani akan mengusahakan 2 daripada 3 bidang tanah dan 1 bidang lagi dibiarkan sebagai tanah rang untuk memastikan kesuburan tanah berkenaan. Namun, untuk memastikan tanah lebih produktif, masyarakat di sini mula menggunakan kaedah tanaman giliran , antara tanaman ubi-ubian, kekacang dan bijirin. Kaedah ini mengembalikan kesuburan tanah dan meningkatkan lagi hasil pengeluaran pertanian. Kesan pelaksanaan kaedah penggiliran ini telah menyebabkan secara perlahan-perlahan sistem tanah rang dimansuhkan.
Masyarakat agraria menerapkan penggunaan teknologi tinggi dalam kegiatan yang diusahakannya. Antaranya, menggunakan peralatan-peralatan baharu bagi meningkatkan produktiviti seperti tenggala beroda dan mesin untuk menampi bijirin. Bagi menambah kawasan pertanian , seperti pada tahun 1600-an seseorang yang bernama Jan Adriaanszoon telah berjaya memajukan kaedah mengeringkan air dengan membina sejumlah daik dan kincir air. Pada tahun 1612, Tasik Beemster telah berjaya dikeringkan dan membentuk sebuah dataran baharu yang dikenali sebagai Beemster Polder. Sejak itu, daik-daik dan kincir angin telah dibina untuk menyekat air laut dari memasuki kawasan petempatan dan pertanian. Kesannya, lebih banyak kawasan berjaya dikeringkan atau ditebus guna untuk dijadikan kawasan pertanian. Penggunaan teknologi kincir angin semakin merancakkan lagi kegiatan pertanian di Belanda kerana kawasan tanah tinggi boleh disalurkan air untuk pertanian.
Kesimpulannya, penggunaan teknologi tinggi serta kreativiti masyarakat agraria di Belanda serta sokongan pihak pemerintah bukan sahaja telah membawa kepada peningkatan dalam pengeluaran hasil pertanian, seterusnya telah meningkatkan taraf hidup golongan tani serta menjadikan negara Belanda terkenal dalam penghasilan barangan berasaskan pertanian dan penternakan hingga hari ini.
No comments:
Post a Comment