cara menjana income 4 angka dalam sehari

Monday 30 November 2015

ciri-ciri masyarakat industri di England

CIRI-CIRI MASYARAKAT INDUSTRI DI ENGLAND PADA               ABAD KE-18 MASIHI














        Masyarakat industri merupakan masyarakat yang kegiatan ekonominya berteraskan perindustrian iaitu terlibat dengan pengeluaran barangan dan perkhidmatan dengan menggunakan jentera dan mesin. Kemunculan masyarakat industri di England dikaitkan dengan berlakunya Revolusi Perindustrian yang membawa kepada pengeluaran barangan secara besar-besaran, menggunakan teknologi tinggi, penggunaan tenaga buruh yang dapat meminimumkan kos dan membawa kepada kemunculan golongan borjuis atau kelas menengah.


Antara ciri masyarakat industri di England ialah masyarakat ini tertumpu di kawasan bandar yang amat memerlukan tenaga kerja di kilang-kilang. Hal ini telah membawa kepada penghijrahan golongan imigran ke bandar-bandar sekali gus dapat membebaskan diri daripada tuan-tuan tanah berikutan kemerosotan yang dialami oleh sistem feudal. Antara bandar yang menjadi tumpuan ialah Liverpool, Manchester, dan Nottingham. Kewujudan petempatan-petempatan di kawasan berhampiran kilang telah membawa kepada kemunculan pekan-pekan yang tidak tersusun yang mempunyai kemudahan yang terhad, seolah-olah wujudnya petempatan setinggan, dan bagi individu yang tidak mempunyai kemahiran , tidak memiliki sumber kewangan yang mencukupi serta kekurangan ilmu pengetahuan akan membawa kepada kemunculan gelandangan. Pekerja-pekerja kilang yang tidak mampu memiliki rumah terpaksa tinggal di dalam lubang-lubang bawah tanah. Kehidupan di bandar menuntut masyarakat lebih berdikari yang menyebabkan hubungan kekeluargaan kian longgar. Setiap individu yang tinggal di bandar perlu menghadapi cabaran malah bakat dan kekayaan mula menjadi penentu kepada kejayaan individu dan bukan lagi bergantung kepada status tradisi keturunan atau keluarga.


Keadaan hidup yang tidak menentu telah menyebabkan masyarakat di England juga terdedah dengan masalah asap dan bahan-bahan buangan kilang yang mencemarkan udara dan persekitarannya. Hal ini mengundang persekitaran yang tercemar sekali gus membawa risiko penularan wabak penyakit seperti kolera dan taun. Pada tahun 1842, dilaporkan keadaan kebersihan dan kualiti kesihatan penduduk miskin di bandar agak tinggi berbanding dengan golongan kaya. Oleh itu, Akta Kesihatan Awam digubal bagi memperbaik tahap kesihatan masyarakat di bandar.


Dalam masyarakat ini juga muncul golongan buruh yang menjadi 'mangsa' kerakusan golongan kapitalis atau pemilik-pemilik kilang bagi meraih keuntungan yang berganda. Mereka menerima gaji yang kecil dan tidak cukup untuk menampung keperluan hidup di bandar-bandar. Kaum perempuan dan kanak-kanak terpaksa bekerja untuk menambah pendapatan keluarga mereka dengan gaji yang jauh lebih rendah dari pekerja lelaki. Kanak-kanak yang berumur 9 tahun atau kurang diterima untuk bekerja di kilang-kilang. Nasib mereka tidak terbela malah keadaan kerja mereka sangat buruk kerana terpaksa bekerja di kilang-kilang selama 12 jam sehari dalam keadaan yang sangat kotor . Terdapat juga buruh kanak-kanak yang bekerja di kilang -kilang dan lombong-lombong arang batu bawah tanah. Mereka bekerja selama 14 jam sehari. Perkara ini akan menyebabkan pemilik-pemilik kilang akan mendapat keuntungan yang sangat banyak kerana amalan dasar ekonomi bebas atau laissez-fairez. Mereka mengeksploitasi dan menindas golongan pekerja tanpa batasan. Tidak terdapat undang-undang untuk menghalang pengambilan buruh bawah umur dan mengehadkan masa bekerja.


Selain itu, dalam masyarakat ini muncul golongan baharu yang dikenali sebagai golongan borjuis yang terdiri daripada pemilik kilang, peniaga,pelabur, ahli perbankan dan jurutera. Golongan ini berkeinginan dan bersedia menerima sebarang risiko untuk mendapatkan kekayaan. Sumbangan golongan ini ternyata telah membawa kepada pertumbuhan ekonomi England. Abad ke-18 juga menyaksikan timbulnya kesedaran golongan proletariat yang berasaskan golongan kaya telah mengeksploitasi golongan miskin dengan menguasai sumber kekayaan negara. Golongan ini mahukan kerajaan campur tangan dalam perdagangan dan industri bagi melahirkan masyarakat yang adil dalam ekonomi. Pada 1830-an menyaksikan munculnya idea pemikiran Robert Owen dalam masyarakat industri di Britain yang menyarankan agar sistem kapitalis lebih bersifat kemanusiaan. Majikan perlu membayar upah yang tinggi kepada para pekerja, menyediakan perumahan yang sempurna, pendidikan untuk anak-anak pekerja dan masa bekerja wajar dihadkan kepada 10 jam sehari. Idea yang disarankan dalam mayarakat industri ini bertujuan menjaga kebajikan pekerja dan pada masa yang sama pihak majikan mendapat keuntungan.


Kesimpulannya, kewujudan masyarakat industri di England menggambarkan sistem feudal yang diamalkan sebelum ini mula berakhir secara perlahan-lahan terutamanya apabila ramai serf  mula membebaskan diri daripada tuan-tuannya, malah kemunculan golongan kapitalis yang berusaha memperoleh keuntungan yang berganda telah memacu perkembangan ekonomi England sehingga muncul sebagai salah satu negara industri utama di Eropah.



No comments:

Post a Comment