cara menjana income 4 angka dalam sehari

Thursday, 26 November 2015

Ciri-ciri masyarakat maritim di Portugal

CIRI-CIRI MASYARAKAT MARITIM DI PORTUGAL PADA ABAD KE-16 HINGGA KE-17.



Masyarakat maritim merujuk kepada masyarakat yang kegiatan ekonominya berpusatkan kelautan serta pusat pemerintahan kebiasaannya bertapak di kawasan pesisiran pantai. Berhubung dengan masyarakat di Portugal, sesuai dengan keadaan fizikal Portugal yang dikelilingi laut serta terhadnya tanah untuk aktiviti pertanian, maka tidak hairanlah masyarakat ini lebih terdedah kepada aktiviti maritim apatah lagi turut mendapat galakan daripada pemerintah sejak abad ke-14 Masihi.


Antara ciri-ciri masyarakat maritim di Portugal ialah masyarakat ini merupakan perintis kepada aktiviti maritim di Eropah terutama dalam bidang pelayaran jarak jauh dan membuka peluang perdagangan dengan kawasan di luar Eropah. Usaha-usaha pelayaran telah dilakukan sepanjang abad ke-15 hingga abad ke-16 untuk meneroka jalan laut ke Timur. Portugal berjaya menjadi kuasa Barat yang pertama menjelajah dunia yang belum diketahui kerana tiada persaingan dari negara-negara Eropah yang lain . Kejayaan bangsa Portugis menjadi inspirasi kepada bangsa -bangsa Eropah yang lain seperti Sepanyol, Belanda, British dan Perancis untuk melakukan aktiviti pelayaran ke timur dan dunia baharu. Putera Henry telah menubuhkan sebuah akademi maritim dengan tenaga pengajarnya terdiri daripada pelayar-pelayar bangsa Itali yang mahir dalam ilmu geografi dan pelayaran. Kejayaan Bartholomew Diaz dan Vasco da Gama dalam aktiviti pelayarannya telah mendorong penjelajahan dan penerokaan yang jauh dilakukan oleh tokoh-tokoh lain seperti Alfonso de Albuquerque, Francisco de Almeida dan Pedro Cabral.


Masyarakat maritim Portugal juga menjalankan kegiatan perdagangan antarabangsa dengan kawasan Afrika, Asia dan Amerika. Pada permulaan abad ke-16, kapal-kapal Portugis sentiasa belayar ke Timur Jauh melalui Tanjung Pengharapan dan kembali semula dengan muatan rempah , sutera, dan batu permata yang berharga. Saudagar-saudagar Portugal telah mendirikan pangkalan perdagangan di Ceylon, Maluku, Sumatera, dan Jawa bagi memonopoli bahan-bahan mentah yang berharga khususnya rempah. Pada tahun 1517 pula, pedagang Portugal telah berjaya sampai di pelabuhan Canton. Sementara pada 1542, pedagang Portugis telah berjaya sampai di Jepun. Seterusnya, penguasaan perdagangan di Lautan Atlantik bermula pada tahun 1500, kapal dagangan dari India telah sampai di Brazil bagi membolehkan saudagar Portugal menguasai kayu-kayan ,bahan pencelup dan emas. Masyarakat maritim di Portugal menjalankan dasar monopoli dalam aktiviti perdagangan terutama dalam perdagangan emas ,gading, dan hamba di Afrika , rempah di Asia Tenggara dan barangan mewah seperti tembikar dan sutera di Timur Jauh.


Ciri seterusnya ialah masyarakat di sini mempunyai kepakaran membina kapal-kapal yang efektif dipanggil Caravel hasil teknologi yang diambil daripada orang-orang Arab. Kapal tersebut dilengkapi dengan layar berbentuk segi tiga dan segi empat yang membolehkannya belayar dalam jarak yang jauh. Mereka juga mempunyai kemahiran ,membina kapal -kapal bersaiz besar yang dikenali sebagai Carracks yang mampu mengangkut muatan yang lebih banyak. Kepakaran dalam ilmu pelayaran yang terdapat pada pelaut dan pedagang Portugis ialah hasil daripada penubuhan Akademi Pelayaran di Sagres. Pelaut-pelaut Portugis juga memiliki pengalaman luas dalam bidang pelayaran dalam kalangan Portugis terbukti kerana mereka telah belayar di lautan sebelum abad ke-15 lagi. Mereka juga mempunyai kelengkapan pelayaran yang baik seperti peta, kompas magnetik, astrolab untuk menentukan longitud serta senjata api seperti senapang dan meriam bagi menghadapi ancaman lanun dan musuh-musuh di lautan yang membolehkan mereka belayar di lautan luas dan selamat.


Selain berdagang, mereka juga memonopoli bahan-bahan mentah , di samping menjelajah dan meneroka sesebuah kawasan. Masyarakat maritim di sini juga menyampaikan tanggungjawab agama dengan bertindak menyebar agama Kristian di sepanjang jalan laut yang mereka terokai. Pelayar-pelayar Portugis didorong oleh semangat untuk menyayingi agama Islam di Timur. Mereka mendirikan salib di setiap pantai yang mereka singgah dan menyebarkan agama Kristian kepada penduduk tempatan sama ada secara aman mahupun secara paksaan. Mereka ingin menguasai jalan-jalan perdagangan orang Islam  untuk mendapatkan barangan dari Timur yang memberi gambaran seolah-olah ingin meneruskan Perang Salib di dunia sebelah Timur.


Kesimpulannya, kejayaan dalam aktiviti maritim nukan sahaja membolehkan Portugal menguasai jalan perdagangan sehingga ibu kotanya,Lisbon dapat mengambil alih peranan Venice, malah kejayaan membentuk koloni-koloni telah membawa kepada pembentukan empayar perdagangan yang begitu luas merangkumi benua Asia , Afrika dan Amerika Selatan.

CIRI-CIRI MASAYARAKAT AGRARIA DI CHINA

                                    CIRI-CIRI MASAYARAKAT AGRARIA DI CHINA




Masyarakat Agraria merupakan masyarakat yang kegiatan dan pengeluaran ekonominya bertumpu kepada pertanian. Kegiatan pertanian merujuk kepada aktiviti bercucuk tanam, penternakan pemungutan hasil hutan dan sungai. Masyarakat agraria mempunyai  kemahiran menghasilkan makanan sendiri , bermula dengan pertanian pindah sehinggalah mengusahakan pertanian tetap. Abad ke-16 dan ke-17 menyaksikan masyarakat agraria berada di bawah pemerintahan dan penguasaan Dinasti Ming dan Dinasti Ching di China.


Antara ciri-ciri masyarakat agraria di China ialah mereka mendirikan petempatan bertumpu di sekitar kawasan yang subur sama ada di lembah sungai, kawasan tanah pamah atau dataran, kawasan berbukit yang mempunyai sistem saliran yang baik. Tumpuan kawasan petempatan ialah antara kawasan Timur Laut China dengan Mongolia, iaitu dataran loes yang subur serta diairi oleh Sungai Kuning. Di sebelah selatan Sungai Kuning pula terletak kawasan tengah yang luas dan diairi oleh Sungai Yangtze yang sememangnya memberikan sumbangan dam mempengaruhi kehidupan dan aktiviti masyarakat agraria di China.


Masyarakat agraria mengusahakan penanaman padi sawah sebagai aktiviti ekonomi utama bagi mendapatkan bekalan makanan. Pada peringkat awal, masyarakat agraria di China mengamalkan kegiatan ekonomi sara diri iaitu menjalankan aktiviti sekadar untuk menampung keperluan harian sahaja. Oleh itu, masyarakat ini dikaitkan dengan masalah kemiskinan dan kesengsaraan terutamanya apabila negara menghadapi masalah bencana alam seperti banjir dan kemarau. Lebihan pengeluaran akan dijual kepada penduduk bandar dan golongan yang tidak terlibat dengan aktiviti pertanian seperti tukang-tukang, saudagar dan golongan agama. Pendapatan yang diperoleh daripada jualan berkenaan digunakan untuk membeli biji benih, membaik pulih peralatan, menguruskan belanja kematian , menderma dan menyertai jamuan yang diadakan sekali sekala. Masyarakat ini juga menjalankan penanaman bijirin lain seperti gandum, barli, sekoi dan di kawasan tanah tinggi mengusahakan tanaman padi huma dan kekacang.



Masyarakat agraria mengamalkan aktiviti pertanian secara kolektif (bersama) dan tidak mengutamakan hak individu. Segala hasil yang diperoleh akan dinikmati bersama. Oleh sebab matlamat utama kegiatan ekonomi hanyalah untuk keperluan diri semata-mata, masyarakat agraria di China menjalankan aktiviti harian menggunakan peralatan lama, namun masih memberikan pulangan yang diharapkan disebabkan penggunaan baja najis binatang yang mampu meningkatkan produktiviti. Mereka mewujudkan ladang-ladang kolektif atu dikenali sebagai sistem pao-chia yang diusahakan secara berkelompok . Pada zaman pemerintahan Dinasti Ching, golongan bangsawan memainkan peranan utama mengawasi sistem ini untuk mengawal kaum petani sekali gus memudahkan kerja-kerja pemungutan cukai yang merupakan salah satu sumber pendapatan utama negara China.


Pada zaman Dinasti Ming, masyarakat agraria mula mengalami perubahan iaitu mampu menguruskan sistem saliran secara sistematik, petani mampu membina terusan bagi mengawa aliran sungai, mengairi kawasan pertanian dengan mencukupi dan memastikan tidak berlaku limpahan yang membawa kepada berlakunya banjir. Pada zaman ini juga, berlaku pengenalan kaedah tanaman bergilir, tanaman dua musim(benih padi vietnam), dan pengkhususan dalam pertanian selain daripada pengenalan tanaman makanan baharu seperti jagung, ubi kentang manis serta kacang telah sedikit sebanyak mengubah kehidupan masyarakat agraria di China.Masyarakat tani di China telah terlibat dengan ekonomi kapitalisme dengan mengusahakan tanaman komersial seperti tembakau, kapas, mulberi dan tebu.


Konklusinya, masyarakat agraria di China merupakan komuniti yang penting bukan sahaja kerana sumbangannya dalam penghasilan barang makanan , tetapi yang paling penting golongan ini merupakan kelompok terbesar dalam masyarakat. Pemerintah amat mementingkan golongan ini bukan sahaja sebagai sumber pendapatan utama negara melalui dasar percukaian malah boleh dimanfaatkan sebagai tenaga kerahan jika negara diancam oleh musuh.